Monday 23 March 2015

Tokoh-tokoh kemerdekaan Negeri Sembilan

Tokoh-tokoh kemerdekaan Negeri Sembilan


SINOPSIS

Yam Tuan Antah

Yam Tuan Antah menentang penempatan seorang Penolong Residen British di Sungai Ujong. Beliau khuatir British akan meluaskan kuasanya  ke  kawasan-kawasan  di  sekitar Sungai  Ujong. Kapten  Tatham  dihantar  ke  Sungai  Ujong  untuk  bertugas  sebagai  Penolong Residen  British  setelah  Dato’  Kelana  meminta  bantuan  dari  perlindungan British.
Pada 1875,  perlantikan  Yamtuan  Antah  sebagai  Yamtuan  Besar  Seri Menanti  tidak  diiktiraf oleh  Dato’  Kelana  kerana  beliau  telah  berkuasa  sejak  1874. Yamtuan  Antah  turut  bertindak  balas  dengan  tidak  mengiktiraf Dato’ Kelana  sebagai  pemerintah  Sungai Ujong. Satu  pergaduhan  berlaku  antara  Yam tuan  Antah  dengan  Dato’  Kelana. Pergaduhan  ini berlaku  berikutan  tuntutan  Dato’  Kelana  ke  atas  Terachi  yang  dianggap  kawasan  di  bawah  kekuasaannya. Dengan  bantuan  tentera  British, Dato’  Kelana  dapat  menewaskan Yamtuan  Antah. Tengku  Antah  terpaksa  berundur  ke  Bukit  Putus. British  seterusnya menawan  Bukit  Putus  dan  menguasai  Kuala  Jempol  serta  Terachi  pada  bulan  Disember 1875.
Maharaja  Abu  Bakar  dari  Johor menasihati  Yamtuan  Antah  supaya  berdamai  dengan British. Pada  akhir  1876,  Yamtuan  Antah  menandatangani  satu  perjanjian  dengan  British. Beliau  diiktiraf  sebagai  Yamtuan  Besar  Seri  Menanti  dan  jajahan  takluknya  iaitu  Johol, Jempol, Terachi, Ulu Muar, Inas  dan  Gunung Pasir.

Pendeta Za’aba

 Zainal Abidin Ahmad (16 September 1895 - 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.
Zaaba adalah seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar tempatan dan majalah-majalah seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pengasuh, dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk Bahasa Pelita, dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeare yang diterbitkan oleh Percetakan Gudang Chap, Singapura.



Sejarah Ringkas Asal Usul Negeri Sembilan


 
Sebelum penjajah barat menakluki alam Melayu ini, beberapa buah kerajaan yang masyhur telah bertapak kuat dalam rantau dan daerah tertentu seperti kerajaan Sri Vijaya yang berpusat di Palembang, Majapahit, Bugis, Riau Lingga, Pasai, Acheh, Temasek, Melaka dan lain-lain. Semua negeri-negeri ini diperintah oleh raja-raja Melayu yang berdaulat dalam negerinya masing-masing.
Tetapi akibat 'telunjuk lurus kelengkeng berkait' penjajah barat baik Portugis, Belanda, Inggeris mahupun Amerika yang pada awalnya hendak berdagang akhirnya sedikit demi sedikit negeri-negeri Melayu ini telah menjadi tanah jajahan berabad-abad lamanya.
Tuduhan-tuduhan dari orang-orang barat yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu berkebudayaan lanun seperti yang pernah kita dengar beberapa tahun yang lalu adalah semata-mata karut dan sengaja direka dengan maksud dan niat serta bertujuan jahat.
Orang-orang Melayu telah bertamadun sejak beribu tahun yang lalu. Selain daripada dapat mengatur dan mentadbir negaranya sendiri sesuai dengan keadaan waktu itu, nenek moyang kita juga telah biasa mengharungi samudera luas seperti Lautan Hindi, Laut China dan sekitar Lautan Pasifik Selatan selain dari laut alam Melayu dengan menggunakan kapal-kapal layar yang besar yang mereka bina sendiri.
Mereka bukan saja membuat perhubungan dengan negeri China, sebelah timur, malah dengan negara yang lebih bertamadun dan kuat di barat yang kita kenal dengan nama Benua Rom.
Laksamana Hang Tuah pernah diutus oleh Sultan Melaka sebagai duta pelawat dikedua-dua buah negara tersebut, selain dari menjalin hubungan dan mengikat tali persahabatan di antara kerajaan Melayu Melaka dengan negeri China dan Benua Rom, hubungan dagang juga telah turut dilakukan.
Orang-orang Bugis umpamanya walaupun dicap sebagai perompak lanun oleh orang-orang barat, tetapi apa yang sebenarnya, mereka adalah perwira-perwira angkatan laut yang gagah perkasa dan mahir dalam peperangan laut. Angkatan laut Portugis, Belanda dan juga Inggeris banyak yang tewas di tangan mereka yang telah menguasai laut alam Melayu sehinggalah ke Riau dan Semenanjung Tanah Melayu. 


Sebagaimana dengan negeri-negeri lain, Negeri Sembilan juga tidak kurang dengan susunan pentadbiran yang teratur meskipun ia merupakan sebuah negeri yang baru terbentuk setelah runtuhnya kerajaan Melayu Melaka dan Johor.
Raja Melewar yang dijemput dari Minangkabau itu telah ditabalkan pada tahun 1773M oleh Datuk-datuk Penghulu Luak (waktu itu belum bergelar Undang) di Kampung Penajis, Rembau. Sebelum itu walaupun Negeri Sembilan di bawah pemerintahan Sultan Johor, tetapi Luak-luak di Negeri Sembilan ini adalah di bawah pentadbiran Penghulu masing-masing dengan dibantu oleh Lembaga dan Buapak. Sistem pentadbiran negeri dapat dikatakan satu pemerintahan yang bercorak demokrasi yang berbentuk 'tear system'. Perbilangan yang menyebutkan,
'Bulat anak buah menjadikan Buapak
Bulat Buapak menjadikan Lembaga
Bulat Lembaga menjadikan Penghulu
Bulat Penghulu menjadi Raja'
membuktikan atas kebenaran ini. Manakala sistem pentadbiran pula turun dari atas iaitu Raja, Penghulu, Lembaga dan Buapak. Buapak yang memiliki anak buah menyampaikan segala perintah. Itulah yang disebutkan dalam perbilangan adatnya:
'Berjenjang naik, bertangga turun'.
Setelah penjajah Inggeris mencampuri pemerintahan, maka berlakulah berbagai-bagai perkara yang tidak diingini -"pecah-pecah dan perintah" yang menjadi permainan penjajah itu telah digunakan dengan bijaksana oleh penjajah Inggeris. Akhirnya Sungai Ujung dan Jelebu terpaksa menerima seorang Residen British, kemudian diikuti oleh Rembau manakala Seri Menanti telah kalah berperang dengan Inggeris yang dibantu oleh Penghulu Syed A. Rahman Sungai Ujung pada tahun 1874M.
Nama Negeri Sembilan yanag kita warisi sekarang ini adalah diambil dari nama 'Sembilan Negeri' yang diketuai oleh 'Sembilan Penghulu' yang menabalkan Raja Melewar. Perkataan 'Negeri' di pangkal huruf 'Sembilan' itu adalah diambil dari istilah yang lazim dipakai dari tanah leluhur (asal) Minangkabau yang membawa pengertian satu kawasan atau daerah yang kira-kira seluas luak atau mukim atau kampung, orang-orang Minang memanggil dengan nama 'negeri'. (Huraian lanjut mengenai perkara ini ada saya jelaskan dalam buku 'Takhta Kerajaan Negeri Sembilan').



DI SEBALIK NAUNGAN
Sebelum negara mencapai kemerdekaan sebagaimana juga negeri-negeri Melayu yang lain, Negeri Sembilan adalah sebuah negeri yang dijajah sejak YamTuan Antah dialahkan dalam perang Bukit Putus dalam tahun 1874M itu. Meskipun kerajaan Inggeris mendewa-dewakan bahawa, negeri-negeri Melayu ini adalah negeri naungan di bawah panji-panji kerajaan Inggeris, Ia tidak sama tarafnya dengan Negeri-negeri Selat seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Pegawai Inggeris yang menjadi wakil Baginda King di England itu dipanggil Gabenor, sebaliknya dalam Negeri-negeri Melayu yang sembilan lagi itu gelaran Gabenor ini dipanggil Pesuruhjaya Tinggi British (British High Commissioner) saja.
Negeri ini memiliki bendera sendiri, lagu kebangsaan sendiri seolah-olah menggambarkan sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Baik Pesuruhjaya Tinggi Inggeris yang beribu pejabat di Singapura itu, Residen British atau pegawai-pegawai daerah yang semuanya Inggeris dalam surat menyurat dengan DYMM, Datuk-datuk Undang, Penghulu malah dengan Datuk-datuk Lembaga pun mereka membahasakan dirinya dengan perkataan 'beta' dan 'sahabat beta', ertinya mempunyai taraf yang sama.
Sebaliknya kalau kita meneliti perjanjian yang dikatakan persahabatan di antara British di satu pihak dengan Raja dan Undang di pihak lain ada disebutkan di situ, bahawa kerajaan British berhak meletakkan seorang Pegawai British, yang dipanggil 'British Resident' untuk memberikan nasihat dalam bidang pentadbiran yang mesti dipatuhi kecuali yang mengenai agama dan adat istiadat.
Bagi menjalankan pentadbiran dalam negeri, yang dikatakan bersahabat itu, kerajaan British telah membentuk sebuah majlis pentadbiran yang dipanggil 'Dewan Keadilan dan Undang. Anggotanya terdiri dari DYMM Yang DiPertuan Besar sebagai Pengerusi, Resident British, Datuk-datuk Undang yang Ampat, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti, Datuk Shah bandar dan seorang ketua kaum Cina, manakala seorang pegawai Inggeris menjadi setiausahanya.
Dewan ini berkuasa membuat undang-undang dan peraturan. Ia dapat diandaikan seperti Exco sekarang, yang berbeza Exco tidak berkuasa membuat undang-undang.
Meskipun dikatakan 'Dewan Keadilan' yang dipengerusikan oleh DYMM itu berkuasa membuat undang-undang dan menjadi pusat cucuran tadbir pemerintahan negeri tetapi nasihat Residen British hendaklah diterima dan dipatuhi. Kebijaksanaan diplomasi Inggeris yang lunak di sebalik menggunakan perkataan 'nasihat' tidak 'perintah' itu menjadikan orang-orang Melayu termasuk orang-orang besar kita khayal dibuai dalam mimpi-mimpi indah yang tidak ramai di antara kita yang menyedari 'mulut disuap pisang, buntut dicangkuk duri'.


                                                         
                                                        SELEPAS PERANG
Setelah Inggeris kembali ke Semenanjung ini sesudah Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada penghujung tahun 1945,kerajaan Inggeris telah memaksakan pemerintahan Malayan Union. Dengan itu jadilah negara ini secara langsung terletak di bawah pentadbiran dan jajahan takluk Inggeris.
Isu ini telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu. Dengan perpaduan yang kukuh di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar terbentuklah UMNO. Gagasan Malayan Union yang dipaksakan itu ditentang habis-habisan, akhirnya penjajah Inggeris mengalah dan Persekutuan Tanah Melayu pun dibentuk pada 1hb. Februari 1948.
Dalam masa pentadbiran Malayan Union kira-kira dua tahun lamanya itu kuasa pentadbiran negeri adalah terletak di tangan seorang pegawai Inggeris yang dipanggil 'Resident Commissioner', pegawai Inggeris yang pertama bernama A.J. Colder. Raja dan Undang yang sebelum perang sebanyak sedikit boleh bersuara dalam Dewan Keadilan dan Undang, tetapi dalam pemerintahan Malayan Union , 'Dewan' ini tidak wujud lagi.
Setelah 'Persekutuan Tanah Melayu' terbentuk pada tahun 1948 itu, maka corak pemerintahan Negeri Sembilan dan lain-lain negeri di Semenanjung turut berubah. Selain dari Pulau Pinang dan Melaka, semua sembilan buah negeri Melayu yang beraja telah melantik ketua-ketua pentadbirnya dengan nama 'Menteri Besar'. Bagaimanapun oleh kerana negeri ini masih lagi dijajah, maka kerajaan Inggeris tetap juga meletakkan seorang pegawai Inggeris yang telah ditukar namanya dari 'British Resident' sebelum perang dan 'Resident Commissioner' dalam masa Malayan Union kepada 'British Adviser' atau Penasihat British'.
Dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu ini bermulalah satu babak baru dalam pentadbiran negeri. Kalau sebelumnya Negeri Sembilan belum ada perlembagaan yang bertulis tetapi sebaik-baik sahaja Persekutuan Tanah Melayu terbentuk pentadbiran Negeri Sembilan juga turut menerima perubahan, sebuah perlembagaan yang bertulis telah dikanunkan.
Dengan berkuat kuasanya perlembagaan ini maka terbentuklah sebuah dewan undangan yang dinamakan Majlis Undangan Negeri (State Legislative Council) dengan semua ahlinya dilantik oleh DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dengan persetujuan Undang yang Ampat.
Majlis Undangan ini dianggotai seramai 27 orang yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.  



                                                   MAJLIS UNDANGAN NEGERI
Ruang Majlis Undang Negeri yang pertama telah ditempatkan di tingkat atas di hujung Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang lama. Di bawah dewan tersebut terletak Mahkamah Tinggi. Persidangan pertama telah diadakan pada tahun 1948. Ahlinya terbahagi kepada dua bahagian, sebahagian dikenal dengan nama 'ahli rasmi' dan sebahagian lagi ' ahli tidak rasmi'.
Ahli rasmi terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan yang berjawatan iaitu Menteri Besar, Penasihat British, Setiausaha Kerajaan Penasihat Undang-undang, Pegawai kewangan dan Pegawai Daerah Seremban iaitu daerah yang terkanan.
Manakala ahli tidak rasmi pula adalah ahli-ahli yang dilantik yang terdiri dari tokoh-tokoh masyarakat yang terkenal, biasanya secara tidak langsung ketua-ketua atau pemimpin-pemimpin bangsa, Melayu, Cina, India dan adakalanya ketua-ketua orang-orang Eurasian. Semua perlantikan ini terpulang kepada budi bicara Yang DiPertuan dan Undang dengan nasihat dari Penasihat British. (Senarai ahli-ahli yang pertama dilantik setelah Persekutuan Tanah Melayu wujud).
Pengerusi Persidangan dengan sendirinya ialah Menteri Besar. Menteri Besar yang pertama, Datuk A. Malek b. Yusuf dari 1hb., 1948 - 10hb. Ogos, 1950.



                                            PILIHANRAYA PERTAMA 1955
Setelah pilihanraya pertama diadakan pada tahun 1955 kedudukan keanggotaan ahli-ahli Majlis Undangan Negeri ini telah berubah. Dua belas orang dari 24 orang anggota-anggota terdiri dari ahli-ahli yang dipilih oleh rakyat dan 12 orang lagi ahli yang dilantik.
Kali pertama juga dalam sejarah Majlis Undangan Negeri, seorang pengerusi majlis yang dipanggil 'Speaker' telah dilantik dari seorang ahli yang dipilih. Orang yang pertama diangkat menjadi Speaker ialah YB. Cikgu A. Wahab bin Idus, wakil dari kawasan Tampin.
Majlis Undangan yang berbentuk demikian berjalan sehingga pilihanraya 1959. Pilihanraya kali kedua ini - negara telah mencapai kemerdekaan. Dengan berlangsungnya pilihanraya kali yang kedua ini tercatatlah satu lagi lembaran sejarah dan pentadbiran negeri yang amat bererti bagi pejuang-pejuang politik kerana hasil keringat mereka untuk mendapatkan kemerdekaan telah tercapai. Keseluruhan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dipilih oleh rakyat selain dari membebaskan negara dari cengkaman penjajah Inggeris. Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. perjuangan merebut kemerdekaan berjalan dengan licin melalui saluran politik dan perlembagaan meskipun tidak sedikit peluh dan air mata yang bercucuran membasahi persada tanah air.
Majlis Undangan Negeri ini kemudiannya ditukar dengan nama Dewan Undangan Negeri. Seramai 24 orang ahli yang dipilih oleh rakyat termasuk Menteri Besarnya sekali. Dr. Mohd Said bin Muhammad, wakil rakyat Linggi, adalah Menteri Besar yang pertama, manakala ahli-ahli Exconya terdiri dari Idris bin Matsil, A.Samad bin Idris, Ariffin bin Ali, Lee Tee Siang, Lim Kee Siong, V. Letchumanan, Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Negeri turut menganggotai Exco atas nama jawatan 'Ex-officio', pegawai-pegawai ini tidak ada hak mengundi.
Pada tahun 1960, bangunan Dewan Undangan Negeri telah dipindahkan dari tempat lama ke bangunan baru. Bangunan ini adalah bangunan ini adalah bangunan Sungai Ujung Club iaitu sebuah kelab yang khusus ahlinya untuk orang-orang kulit putih saja (keahliannya dibukakan kepada orang-orang bukan kulit putih beberapa tahun selepas perang).
Persetujuan telah dicapai di antara kerajaan negeri dengan ahli-ahli kelab ini agar mereka berpindah kebangunan yang ada sekarang (dulunya Istana Hinggap). Bangunan ini telah diubahsuai selaras dengan sebuah Dewan Undangan Negeri, kerana bangunan ini agak besar dan luas, maka sebahagian darinya dijadikan bangunan Mahkamah Tinggi dan sebahagian lagi dijadikan Pejabat Pertanian Negeri. Bangunan ini telah digunakan selama 26 tahun sehingga bangunan baru yang ada sekarang ini siap untuk digunakan.



SEJARAH KEMERDEKAAN
Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni. Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.
Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 berjaya mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 – 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.
Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu. Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

                                            Tokoh Pahlawan Negeri Sembilan

Dato' Moyang Salleh
Merupakan Undang Luak Jelebu pertama. Membuka jalan kepada Negeri Sembilan berkerajaan sendiri, dan kemudiannya menetapkan raja yang dijemput dari Pagar Ruyung di Minangkabau sebagai raja bagi menggantikan pemerintahan Sultan Johor.

Dato' Dol Said
Penghulu Naning, putera Melayu pertama menentang penjajahan Inggeris tahun 1831-1832. Keberaniannya melawan kuasa besar dari barat dianggap luar biasa sekalipun berakhir dengan kekalahan. Bagaimanapun kekalahan itu adalah disebabkan ada pembelot di kalangan orang-orang Melayu sendiri.

Penghulu Naam
Merupakan Penghulu Luak Muar yang pertama. Berpegang kuat kepada prinsip dalam menentukan siapa berhak menaiki taktha Negeri Sembilan. Keberanian menentang Raja Malewar yang belum diiktiraf sebagai raja membuktikan dia kuat mempertahankan prinsip dan kedaulatan wilayahnya.

Dato' Panglima Sultan Karo
Menjemput Raja Malewar menaiki taktha 1773, seorang buapak luak Ulu Muar. Kuat berpegang pada janji Disebabkan dia diberi tugas untuk menaikkan Raja Malewar ke atas takhta, janjinya tetap dikotakan sekalipun terpaksa menentang penghulunya sendiri.

Dato' Bandar Tunggal Abdullah b Ahmad
Pembesar Sungai Ujong berperang melawan Inggeris tahun 1874. Dilucutkan jawatan oleh Inggeris, tetapi semangatnya terus kental hingga rumah dan kampungnya dibakar oleh pihak Inggeris. Pertelagahannya dengan Dato' Kelana Syed Aman, menjadi sebab kemarahan Inggeris dan peniaga-peniaga Cina dari Melaka apabila dia menentang pembolotan ekonomi menyebabkan orang Melayu susah.

Yamtuan Antah
Raja Melayu pertama berperang melawan Inggeris tahun 1876, hingga terpaksa hilang wilayah. Sebagai penyelesaian, baginda hanya berkuasa di Seri Menanti sahaja setelah kalah dalam Perang Bukit Putus.

Dato' Siamang Gagap
Menentang Inggeris di Istana Seri Menanti dalam tahun 1874, akhirnya jawatan yang dipegang dimansuhkan. Dia ikut sama Yamtuan Antah berundur ke Singapura , dan tidak mahu mengiktiraf campur tangan Inggeris. Dia kemudiannya menjadi orang biasa sebelum beliau mangkat.

Dato' Bongkok Abdul Malik
Menentang sistem raja. Keberaniannya melanggar tradisi telah membuka jalan ke arah pembaharuan dalam sistem beraja di Negeri Sembilan.

Dato' Haji Sail
Undang Rembau, menentang Inggeris sekitar 1880an. Dia disingkirkan dari jawatannya dengan tipu helah Inggeris, kemudiannya dibuang ke Singapura.

Pendekar Sampan
Berjuang menentang Inggeris dalam Perang Bukit Putus tahun 1876. Menjadi jurulatih silat kepada pemuda-pemuda yang mempertahankan Seri Menanti dari serangan Inggeris. Terkorban dalam peperangan kerana kesetiaannya.

Bilal Ismail
Menentang Inggeris di Jelebu pada tahun 1880, dan dituduh menderhaka kepada Yamtuan Muda Jelebu. Dijatuhkan hukuman bunuh. Orang yang bertanggungjawab membunuh Bilal Ismail kemudianya dihukum bunuh bagi meredakan krisis berkenaan.

Pendeta Za'ba
Menentang Inggeris dengan mata penanya. Dia menganjur Kongres Melayu 1946, dan mencetuskan perjuangan UMNO. Dia tidak terbabit dalam politik, tetapi boleh menumpukan kepada pembangunan intelektual Melayu.


Latar Belakang dua tokoh-tokoh Negeri Sembilan
Yamtuan Antah

PERJUANGAN menentang penjajah di Negeri Sembilan dipelopori Tunku Laksamana Antah Ibni Almarhum Raja Radin atau dikenali Yamtuan Antah yang juga Yamtuan (pemerintah) kelapan bagi kawasan Seri Menanti. Perjuangan di negeri itu bermula pada Mac 1872 apabila Datuk Kelana Sungai Ujong, Datuk Laksamana Syed Abdul Rahman membuat perjanjian membenarkan seorang Inggeris, Henry Velge membuka lombong bijih timah di Sungai Ujong (kini Seremban). Bermula detik itu, British bertapak di Negeri Sembilan. Kemarahan orang Melayu semakin meluap-luap pada April 1874 apabila Datuk Kelana Syed Abdul Rahman dan Datuk Muda Linggi pergi ke Singapura untuk bertemu British membuat satu perjanjian dengan wakil British, Andrew Clarke yang boleh merugikan bangsa dan tanah air iaitu menawarkan Sungai Ujong berada di bawah lindungan penjajah itu. Lebih mengecewakan apabila pada Ogos tahun sama Datuk Kelana menghantar surat kepada Clarke yang mengalu-alukan kehadiran seorang residen untuk menasihatinya memerintah Sungai Ujong. Bendera Union Jack akhirnya dinaik dan dikibarkan di puncak tiang berhampiran rumah Datuk Kelana di Ampangan pada September 1874, seterusnya disusuli istiadat tembakan meriam sebanyak 21 das seolah-olah British cuba memberitahu penduduk yang mereka berkuasa di Sungai Ujong. Bagi mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong, Datuk Kelana yang dibantu kira-kira 150 askar British lengkap bersenjata kemudian menyerang Datuk Bandar Tunggal dan membakar Rahang yang dimusuhinya pada November 1874. Datuk Bandar Tunggal akhirnya mengaku kalah akibat serangan itu. Dengan kejayaan itu pada awal 1875, Residen British pertama di Sungai Ujong, PJ Murray dilantik untuk membantu Datuk Kelana memerintah. Pembesar lain di Negeri Sembilan jelas tidak setuju dengan dasar berkenaan. Bagi mereka, tindakan Datuk Kelana membawa masuk British ke Sungai Ujong umpama mengundang penjajah untuk menjajah negeri mereka. Hari berikutnya memperlihatkan yang Datuk Kelana masih tidak menghiraukan pandangan pembesar lain. Lalu pakatan pembesar menabalkan Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Seri Menanti yang mana jajahan itu meliputi Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol. Tindakan Datuk Kelana membenarkan British bertapak di Sungai Ujong mengeruhkan hubungan antara dirinya dengan pembesar lain termasuk Yamtuan Antah. Yamtuan Antah akhirnya tidak mengiktiraf Datuk Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong. Pertengahan 1875, di bawah lindungan British, Datuk Kelana mengisytiharkan Terachi yang terpisah oleh Bukit Putus, sebagai sebahagian daripada wilayah miliknya iaitu Sungai Ujong sekali gus mencetus api pertelingkahan dengan Yamtuan Antah. Datuk Kelana dan British bertindak melantik orangnya sebagai pemerintah Terachi dengan anggapan daerah itu sudah menjadi milik mereka pada November tahun sama. Yamtuan Antah yang semakin berang kemudian memecat Datuk Pemerintah Terachi yang dilantik Datuk Kelana. Residen British, Murray yang berpihak kepada Datuk Kelana menganggap perbuatan Yamtuan Antah itu sebagai mengganggu daerah pemerintahan Datuk Kelana dan melanggar undang-undang. Pada 27 November 1875, Murray ke Terachi bersama 20 askar diketuai Leftenan Hinxman selain 30 polis dan masing-masing seorang doktor dan jurubahasa Australia bernama Dominic Daly pergi ke Terachi, tetapi mendapati tiada kekacauan berlaku di kawasan itu.Sehari kemudian, Murray kembali ke Sungai Ujong tetapi Daly ditinggalkan di Terachi untuk mengukur jarak antara Kampung Terachi dengan Kuala Pilah. Di tepi sebatang sungai, Daly bertemu sekumpulan penduduk seramai 200 orang yang menuntut lelaki asing itu dan orang-orangnya balik ke Sungai Ujong.Daly ketakutan, dia segera meminta bantuan Murray di Sungai Ujong dan Residen British itu bertindak menghantar pasukan askarnya yang diketuai Hinxman. Kedatangan bantuan tentera British ke lembah Terachi itu segera dimaklumkan kepada Yamtuan Antah. Kedatangan British itu seolah-olah mencabar kedaulatan Seri Menanti lalu Yamtuan Antah mengerahkan pasukannya seramai kira-kira 4,000 orang supaya bersedia untuk menghadapi peperangan. Kebangkitan Yamtuan Antah untuk mengusir penjajah itu turut mendapat sokongan beberapa pembesar antaranya Datuk Siamang Gagap, Tengku Besar Tampin, penduduk Rembau, Jelebu dan Johol. Seterusnya pasukan perang Yamtuan Antah segera mendaki dan menyeberangi Bukit Putus untuk memasuki Paroi. Di situ, Yamtuan Antah mengutus surat amaran kepada Murray supaya tidak lagi mengganggu kedaulatan Seri Menanti dan menceroboh Terachi. Murray yang ketakutan melihat kebangkitan penduduk dipimpin Yamtuan Antah segera meminta bantuan ketenteraan dari Negeri-negeri Selat. Keadaan British di Sungai Ujong semakin genting kerana mereka khuatir penduduk akan menyerang. Hinxman dan askar lain yang berada di Rasah, segera menggali parit dan membuat kubu pertahanan di sekeliling tapak perkhemahan tentera mereka. Pada Disember 1875, pasukan Yamtuan Antah seramai 200 orang berjaya menawan Paroi dan mereka membina kubu di situ tetapi di Sungai Ujong, bantuan British dari Melaka yang terdiri daripada 20 askar diketuai Leftenan Peyton tiba untuk menentang kebangkitan penduduk. Dengan bantuan tambahan, Hinxman membawa satu pasukan perang seramai 30 askar, 30 polis dan enam askar Arab dari Rasah untuk menyerang pasukan Yamtuan Antah di Paroi. Bagaimanapun, sebaik sampai, pasukan British terlebih dulu diserang penduduk menggunakan senapang. Bilangan pejuang tempatan yang lebih ramai daripada pasukan Hinxman menyebabkan musuh hampir dapat dikepung dan ditahan. Menyedari mereka akan kalah, askar British yang ketakutan segera melarikan diri dan balik ke Rasah. Tentera Yamtuan Antah berjaya menduduki dan bertahan di sebuah rumah di tepi Sungai Linggi. Pada 5 Disember 1875, British semakin tertekan apabila pasukan diketuai Hinxman gagal merampas kembali Paroi. Mereka merancang serangan yang lebih hebat. Menggunakan meriam milik Datuk Kelana, mereka membedil pertahanan tentera Yamtuan Antah. Penduduk yang tidak dapat mempertahankan serangan meriam itu segera berundur. Pada Disember 1875, pasukan askar British diketuai Hinxman sampai di Paroi dan mula menyerang kubu pertahanan Yamtuan Antah. Pertempuran hebat menggegarkan bumi Paroi pada hari itu. Selepas satu jam berbalas tembakan, askar British akhirnya berjaya menyeberangi paya yang terbentang di hadapan kubu pertahanan Yamtuan Antah walaupun beberapa jasad askar mereka berjaya ditembak. Hinxman dan Peyton kemudian nekad untuk terus memusnahkan kubu pertahanan tentera Yamtuan Antah. Mereka membawa satu pasukan seramai 20 askar British dan Arab menuju ke kubu pertahanan Yamtuan Antah tetapi mereka tersesat jalan. Dalam kebingungan, mereka terus diburu askar tempatan.
Tunku Laksamana akhirnya dilantik sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti
BANTUAN tambahan yang diminta Murray tiba di Sungai Ujong pada 8 Disember 1875. Diketuai Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Anson, lelaki asing itu tiba bersama pasukan perang terdiri daripada 350 askar British yang dibawa dari Melaka. Kekalahan dalam pertempuran sebelum itu, menyebabkan British memperkuatkan serangan terhadap tentera Yamtuan Antah di Paroi. Kali ini, menggunakan beberapa pucuk meriam, mereka membedil kubu Yamtuan Antah. Selepas melepaskan 10 das tembakan meriam, pasukan Yamtuan Antah terpaksa berundur. Selepas pertempuran hebat itu mengorbankan 37 askar British dan Arab selain mencederakan ramai pihak, akhirnya Paroi dapat dirampas semula British. Pada 10 Disember 1875, bantuan British terus dibawa masuk iaitu pasukan askar Gurkha seramai 250 orang berserta pegawainya seramai 32 orang. Pasukan meriam daripada kapal perang HMS Thistle turut tiba di Sungai Ujong. Dengan kekuatan tentera itu, Leftenan Kolonal Clay iaitu Ketua Pemerintah Askar Sungai Ujong merancang menyerang Bukit Putus yang masih berada di bawah kekuasaan pengikut Yamtuan Antah, daripada pelbagai penjuru. Pada 19 Disember 1875, satu pasukan perang British diketuai Murray bertolak dari Sungai Ujong menuju Bukit Putus melalui Langkap. Clay pula mengetuai pasukan seramai 280 orang. Akhirnya berlaku pertempuran antara pasukan British dan pejuang tempatan di Bukit Putus dan akhirnya kawasan itu berjaya ditawan British. Selepas menawan Bukit Putus, Clay bersama pasukannya menuju Seri Menanti. Menyedari kehadiran musuh, Yamtuan Antah dan keluarganya terpaksa berundur meninggalkan Seri Menanti dan bergerak mencari perlindungan di Johor. Di negeri itu, Yamtuan Antah bertemu Sultan Johor, Maharaja Abu Bakar. Maharaja Abu Bakar kemudian menasihati baginda supaya berdamai dengan British. Dengan pertolongan Sultan Johor itu, pada Mei 1876, Yamtuan Antah membuat pertemuan dengan Gabenor Singapura iaitu William Jervois. Yamtuan Antah bersama empat pembesar dari daerah Seri Menanti, Johol dan Inas sekali lagi menemui Gabenor British di Singapura pada November 1876.Dalam pertemuan itu, pihak British memikirkan yang adalah lebih baik berdamai dengan penduduk setempat bagi menunjukkan imej baik mereka. Lalu Kerajaan British bersetuju melantik Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti. Daerah lain dalam Negeri Sembilan akan diserahkan di bawah kekuasaan Ketua Daerah masing-masing manakala daerah Sungai Ujong berada di bawah kekuasaan British. Selepas dua tahun berundur ke Johor, akhirnya Yamtuan Antah kembali ke tanah airnya, Seri Menanti. Beliau hanya sempat tinggal di Bandar Diraja itu selama 11 tahun apabila pada 1888, beliau meninggal dunia. Tamatlah riwayat seorang pemerintah yang begitu cintakan tanah air sehingga sanggup melancarkan peperangan bagi mengusir British dari terus menjajah penduduk tempatan. Semangat perjuangannya akan terus kekal diingati dan harap diwarisi seiring kewujudan daerah Seri Menanti khususnya dan Negeri Sembilan umumnya.




 Pendeta Za’aba


Pendeta Za’ba berjuang dengan menggunakan penanya dan memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu.

PENDETA Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad tidak pernah mengenal erti berputus asa dan pernah berjuang untuk meninggikan martabat Bahasa Melayu suatu masa dahulu. Semasa mengajar di Kolej Latihan Sultan Idris, beliau berusaha untuk menyerapkan syarat-syarat aturan tatabahasa Arab dan Bahasa Inggeris dalam buku-buku teks sekolah dan bahan-bahan bacaan umum dalam Bahasa Melayu.
HASIL KARYA ZA’BA
Artikel pertamanya yang berjudul “Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling” diterbitkan sebanyak dua kali dalam akhbar Utusan Malaya. Buku pertamanya yang bertajuk Umbi Kemajuan, merupakan menulisan semula karangan rencana keugamaan yang diterbitkan pada tahun 1932. Za’ba mula menulis secara aktif semasa beliau menjadi guru sementara di Johor Bahru pada tahun 1916. Bakat Pendeta Za’ba terserlah kerana beliau menyentuh mengenai aspek-aspek bahasa, kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan dan politik dalam hasil karyanya. Karyawan yang disegani ini pernah mengarang cerpen, novel dan buku-buku rujukan tatabahasa dalam Bahasa Melayu. Antara hasil karyanya ialah Journalism in Malaya yang diterbitkan pada tahun 1947, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Pelita Bahasa Melayu I, Pelita Bahasa Melayu II dan Pelita Bahasa Melayu III (1958). Seorang penulis yang bernama Dharma Wijaya menggambarkan Pendeta Za’ba sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu yang sentiasa ditunjangi oleh ketabahan, kecekalan dan keyakinan. “Perjuangan Za’ba lebih menjurus kepada kegiatan keilmuan khususnya dalam pendidikan, penyelidikan dan penulisan,” ujar Dharma Wijaya dalam satu teks ucapan. Buku mengenai Za’ba. Untuk menghargai sumbangan pendita Za’ba dalam bidang penulisan, Universiti Malaya menamakan salah sebuah perpustakaannya sempena namanya (Perpustakaan Peringatan Za’ba) untuk mengenang jasa beliau kepada perkembangan Bahasa Melayu.




 LATAR BELAKANG



Buku Pendeta Za'ba
Za’ba dilahirkan pada tahun 1895 di sebuah kampung terpencil yang terletak dekat Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan. Beliau berasal dari sebuah keluarga yang kuat beragama, oleh itu tidak hairanlah penulis ini telah belajar berkhatam Al-Quran, menghafal Surah Yassin dan berzanji ketika usianya mencecah tujuh tahun. Pendeta pujaan ramai ini hanya menjejakkan kakinya ke sekolah pada usia 12 tahun di Sekolah Melayu Batu Kikir. Dan kemudiaannya, bertukar ke Sekolah Melayu Linggi untuk mendalami ilmu pengajian Arab dan Islam lanjut. Penulis ulung ini merupakan pelajar Melayu pertama dari Negeri Sembilan yang menghabiskan zaman persekolahannya (Senior Cambridge) dari darjah satu hingga darjah enam dalam jangka masa enam tahun. Pada tahun 1917, Za’ba melangkah ke alam perkahwinan dan mempunyai seorang anak perempuan. Namun, ianya tidak kekal lama. Karyawan ini kemudiannya berkahwin sekali lagi dengan Fatimah Umar dan menjaga anak perempuannya itu.
USAHA MENENTANG PENJAJAH

Za’ba, merupakan seorang pejuang tanah air yang berani mengetengahkan aspek kemunduran masyarakat Melayu pada zaman pemerintahan British melalui hasil karyanya. Tindakannya itu pernah mengundang kesangsian pihak British yang pernah mengehadkan hasil karyanya.
Za’ba duduk dari tempat kedua dari kanan. Gambar ini diambil pada bulan Ogos 1929. -Foto THE STAR Penulis agung ini suka bergiat aktif dalam perkhimatan masyarakat. Beliau menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya pada tahun 1937. Pada tahun 1946, pendeta ini dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi Jawatankuasa Penggubal Rang Piagam UMNO di kongres menentang pembentukan Malayan Union. Beliau keluar dari dunia politik selepas Piagam Umno diterima dan diluluskan.






PERJALANAN KARIER

Za’ba pernah berkhimat sebagai seorang guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1918. Kerjayanya sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London bermula pada tahun 1947. Kemudiannya, Za’ba bersara dari perkhimatan kerajaan ketika berumur 55 tahun. Penulis ulung ini dilantik sebagai pensyarah senior di Jabatan Pengajian Melayu (Malay Study Department (JPM)) di

Za'ba berkot hitam pada Ogos 1929 - Foto Star

Universiti Malaya, Singapore pada tahun 1953. Dengan bantuan Ungku Aziz, Za’ba menjadi pengasas pembentukan pertubuhan bahasa pelajar dan dua tahun berikutnya, membentuk Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya. Karyawan yang menjadi tulang belakang penggunaan Bahasa Melayu yang kita gunakan kini, menerima gelaran Pendeta secara rasmi pada tahun 1956. Za’ba atau nama sebenarnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad meninggal pada 23 Oktober 1973 pada usia 78 tahun.